Site icon TUHAU BAMBANGAN

Jeffrey dilantik Pengerusi Sabah Agricultural Marketing Authority (SAMA)

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan hari ini dilantik sebagai Pengerusi Sabah Agricultural Marketing Authority (SAMA), sebuah agensi baharu di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) yang memfokuskan kepada pemerkasaan pemasaran dan pembangunan hiliran sektor agromakanan negeri.

Watikah pelantikan itu disampaikan dalam satu majlis ringkas di Wisma Pertanian di sini pagi tadi, dengan Jeffrey mendahului penerimaan sebelum diikuti oleh barisan ahli jemaah pengarah agensi berkenaan.

Dalam pada itu, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, penubuhan SAMA adalah langkah strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh rantaian nilai sektor pertanian, perikanan, penternakan serta industri makanan, khususnya dari aspek pemasaran dan akses ke pasaran domestik serta eksport.

“Penubuhan SAMA ini adalah sejajar dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan industri agromakanan di Sabah, khususnya dalam aspek pemasaran dan pembangunan produk hiliran,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan itu bersama jemaah pengarah yang dilantik mampu memacu SAMA ke arah mencapai matlamat meningkatkan keupayaan pemasaran hasil pertanian dan makanan negeri secara lebih sistematik dan berdaya saing.

SAMA dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan petani, penternak dan nelayan di Sabah melalui penyediaan akses pasaran yang lebih tersusun, sekali gus menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri berasaskan sektor agromakanan.

Exit mobile version