TELUPID: Pemborong beras di Sabah yang didapati menyorok atau menyeludup bekalan beras subsidi bakal berdepan denda minimum RM50,000 serta hukuman penjara, tegas Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar susulan gangguan bekalan yang mencetuskan kebimbangan rakyat.
Beliau berkata, tindakan tegas itu akan dilaksanakan tanpa kompromi, termasuk melalui audit menyeluruh terhadap pemborong yang disyaki terlibat dalam aktiviti tidak bertanggungjawab berkenaan.
“Kita syak ada pemborong yang tidak mengeluarkan stok atau cuba menyorok bekalan. Jika sabit kesalahan, tindakan tegas akan diambil kerana ia menjejaskan kehidupan rakyat,” katanya ketika ditemui di ladang padi Trusan Sapi, di sini.
Menurutnya, kekurangan bekalan beras ketika ini sebahagiannya berpunca daripada kegagalan pemborong mengeluarkan stok yang telah dibeli, termasuk kira-kira 3,000 tan metrik beras yang masih tersadai di stor Bernas.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan peningkatan kuota bekalan beras kepada 35,000 tan metrik bulan ini bagi menstabilkan pasaran susulan isu pembelian panik.
Dalam masa sama, kerajaan turut mengehadkan pembelian kepada dua kampit bagi setiap individu sebagai langkah kawalan sementara.
Jamawi menegaskan, tiada kenaikan harga berlaku ketika ini kerana subsidi masih dikekalkan, selain memberi jaminan stok simpanan beras negeri mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan.
Beliau turut mengingatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi kerajaan, terutama ketika harga beras di negara jiran meningkat akibat krisis global.
“Penguatkuasaan akan terus diperkasa bagi memastikan bekalan makanan kekal stabil di Sabah,” katanya.

