TAWAU: Taktik menyamar sebagai pegawai polis China bagi memperdaya mangsa akhirnya terbongkar apabila polis menahan seramai 80 warga asing dalam serbuan ke atas sebuah resort di Jalan Air Panas, di sini, malam Selasa.
Serbuan kira-kira jam 9.20 malam itu dijalankan menerusi operasi bersepadu yang diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kontinjen Sabah dengan kerjasama pasukan dari Tawau, Sandakan dan Keningau.
Menurut sumber, tangkapan melibatkan 78 warga China termasuk empat wanita, serta masing-masing seorang warga Myanmar dan Laos, berusia antara 17 hingga 46 tahun.
Sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi sejak kira-kira tiga bulan lalu dengan menjadikan resort berkenaan sebagai pusat panggilan, lokasi latihan serta tempat tinggal ahli sindiket.
Mereka turut menyasarkan warga Amerika Syarikat berketurunan Cina dengan menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai penguat kuasa dari China bagi memperdaya mangsa.
Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan penipuan termasuk telefon bimbit, komputer, skrip penipuan, modem, pasport, sepanduk serta pakaian seragam polis China.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan rangkaian penuh sindiket berkenaan.
Seramai 77 suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau untuk permohonan reman selama tiga hari, manakala tiga lagi yang menerima rawatan di hospital turut direman selepas itu.
Dalam masa sama, enam individu telah dilepaskan namun masih diperlukan bagi membantu siasatan.
Polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan yang mendakwa daripada pihak berkuasa luar negara, memandangkan sindiket penipuan kini semakin berani menggunakan pelbagai taktik termasuk menjadikan premis pelancongan sebagai markas operasi mereka.

