KUALA LUMPUR: Harga petrol di seluruh negara meningkat sebanyak 40 sen seliter manakala diesel di Semenanjung Malaysia naik 70 sen berkuat kuasa mulai hari ini.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MoF) semalam, harga RON97 kini ditetapkan pada RM5.35 seliter berbanding RM4.95 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi meningkat kepada RM4.27 seliter daripada RM3.87 seliter.
Bagi diesel di Semenanjung, harga baharu ditetapkan pada RM6.72 seliter berbanding RM6.02 seliter sebelum ini.
Bagaimanapun, petrol RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 kekal pada harga RM1.99 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan turut tidak berubah iaitu RM2.15 seliter.
MoF memaklumkan penetapan harga bahan api dibuat berdasarkan purata harga mingguan produk petroleum global dan bukannya harga semasa yang kini menunjukkan penurunan susulan pengumuman gencatan senjata.
Menurut kementerian itu, kos bekalan yang tinggi sepanjang lima minggu lalu, yang mencecah sekitar USD150 setong bagi petrol dan USD250 setong bagi diesel, terus mempengaruhi harga runcit bahan api dalam negara.
Harga baharu ini akan berkuat kuasa sehingga 15 April.

