KOTA KINABALU: Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang berlarutan hampir empat dekad akan dinilai oleh rakyat apabila tiba masanya, tegas Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, pendiriannya berhubung tuntutan itu kekal tidak berubah dan akan terus diperjuangkan.
Menurutnya, keputusan beliau meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan sebelum ini dibuat kerana tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Sabah.
“Rayuan pertama adalah terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi, manakala rayuan kedua pula untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut, yang akhirnya dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan.
“Keputusan membenarkan penangguhan itu telah menjejaskan keputusan awal Mahkamah Tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan Sanjungan Budi Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ewon berkata, rakyat Sabah perlu menilai keputusan Mahkamah Rayuan serta tindakan kerajaan Persekutuan mengemukakan dua rayuan sekiranya tuntutan 40 peratus itu masih tidak dilaksanakan.
“Pada saya dan UPKO, pendirian kita tetap sama. Isu ini telah berlarutan hampir 40 tahun, dan biarlah rakyat Sabah menilai apabila tiba masanya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Ketua Menteri, Hajiji Noor turut menegaskan pendirian kerajaan negeri yang tidak bersetuju dengan tindakan rayuan tersebut, namun tetap menghormati proses mahkamah serta mahu rundingan diteruskan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
Ewon turut menegaskan bahawa UPKO konsisten menyuarakan pendirian berhubung tuntutan itu di pelbagai platform termasuk mesyuarat Kabinet Persekutuan, Parlimen, Dewan Undangan Negeri serta Kabinet Kerajaan Sabah.
“Kita telah melaksanakan tanggungjawab kita dan akan terus konsisten menyatakan pendirian ini,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya isu berkenaan masih tidak dimuktamadkan dan tiada pembayaran dibuat selepas pembubaran Dewan Rakyat, rakyat berhak menentukan kepimpinan negara.
“Jika sampai masanya 40 peratus itu belum dibayar, rakyatlah yang akan membuat keputusan,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan tuntutan “lost years” adalah isu berasingan daripada pelaksanaan pembayaran masa hadapan, dan bagi tempoh akan datang seperti tahun 2027 dan seterusnya, kerajaan Persekutuan sepatutnya mampu merancang mekanisme supaya 40 peratus hasil Sabah dapat dikekalkan di negeri itu.
Katanya, perkara berkaitan Perlembagaan perlu diasingkan daripada dasar semasa kerajaan, sambil menegaskan rakyat Sabah memahami hak mereka seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, UPKO akan terus bersama rakyat Sabah dalam memperjuangkan hak negeri itu di bawah kepimpinan kerajaan negeri sedia ada.

