KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di sungai di Kampung Purak Ogis Supuan, di sini, ditemui meninggal dunia oleh penduduk kampung pada pagi hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Fernandez Anak Sawing @ Andin, 33, ditemui kira-kira jam 6.30 pagi di kawasan sungai pada jarak lebih kurang 2.1 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Pemangku Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PPgB Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.12 petang semalam berhubung kejadian seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika menjalankan aktiviti mandi-manda di sungai berkenaan.
“Pasukan bomba dari BBP Kota Belud yang terdiri daripada enam anggota digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira jam 5.42 petang.
“Operasi SAR dijalankan di sepanjang pesisir sungai dengan bantuan penduduk kampung, namun mangsa tidak berjaya ditemui sebelum operasi ditangguhkan pada jam 8.15 malam berikutan faktor cuaca,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi disambung semula pagi tadi sebelum mangsa berjaya ditemukan oleh orang awam.
“Pasukan bomba seterusnya menjalankan kerja-kerja mengangkat mangsa menggunakan pengusung (stretcher) dari lokasi penemuan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak polis sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, operasi SAR yang melibatkan enam anggota bomba itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.35 pagi selepas pihaknya memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.

