Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pencapaian SPM meningkat, Ketua Menteri mahu memontum pendidikan terus diperkukuh

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan keperluan memperkukuh sistem pendidikan Sabah agar lebih dinamik dengan memberi penekanan kepada kualiti pembelajaran serta pembangunan holistik murid di seluruh negeri, susulan pencapaian memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang diketuai Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Isnin.

Dalam pertemuan itu, Raisin turut menyampaikan taklimat mengenai program utama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi tahun ini serta perancangan tahun hadapan, termasuk perkembangan dan pencapaian SPM pelajar negeri ini.

Hajiji menzahirkan komitmen berterusan kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pendidikan, khususnya dalam meningkatkan kualiti pembelajaran serta memperkasa pengurusan sekolah.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama strategik dan berterusan antara kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Sabah bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif pendidikan dapat dilaksanakan secara efektif dan menyeluruh.

“Hubungan erat ini penting dalam usaha memperkasa sektor pendidikan negeri, seterusnya melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing,” katanya.

Delegasi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah turut disertai Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Indang Kasi Sibin; Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Krishna KS @ Mohd Fadzli Abd Rozan; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Muddin Beting; serta Ketua Penolong Pengarah Kanan, Salleh Linggam.

Exit mobile version