KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempelawa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memohon Program Asasi Sains Sosial (Aliran Pengajian Islam) bagi sesi pengambilan terbaharu.
Menurut Fakulti Pengajian Islam dalam satu kenyataan pada Isnin, permohonan kini dibuka secara manual bagi memberi peluang kepada calon yang berkelayakan memulakan langkah akademik dalam bidang pengajian agama di peringkat asasi.
Program asasi tersebut merupakan laluan khusus kepada pelajar yang bercita-cita melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam tiga bidang utama yang ditawarkan di UMS, iaitu Ijazah Sarjana Muda Syariah, Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Ijazah Sarjana Muda Pendarasan Islam.
Sehubungan itu, ibu bapa yang mempunyai anak lepasan SPM digalakkan memanfaatkan peluang ini bagi memastikan kelangsungan pendidikan dalam bidang pengajian Islam yang diiktiraf.
Calon yang berminat boleh membuat permohonan dengan mengisi borang secara dalam talian melalui pautan rasmi https://forms.gle/TVsxbP6kDBEcA7Fi6.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Penyelaras Program Asasi, Dr. Mohd Jainudin Hj. Peran di talian 013-890 6246 atau melalui e-mel rasmi Jainudin.peran@ums.edu.my.

