KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengulangi pendirian Kerajaan Negeri yang membantah penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berkaitan semakan geran khas Sabah, namun menegaskan kerajaan tetap menghormati keputusan Mahkamah Rayuan sebagai sebahagian daripada proses perundangan.
Beliau berkata, walaupun tidak bersetuju dengan penangguhan tersebut, kerajaan negeri akan terus mematuhi keputusan mahkamah sambil meneruskan usaha rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Ini adalah satu proses yang sedang berjalan dan Kerajaan Negeri akan terus berbincang serta mencari penyelesaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, perintah penangguhan yang diberikan Mahkamah Rayuan adalah bersifat prosedural dan hanya mengekalkan status quo sementara menunggu rayuan Kerajaan Persekutuan didengar.
Katanya, keputusan itu tidak mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mengarahkan semakan terhadap hak Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih Persekutuan.
“Walaupun perintah Mahkamah Tinggi untuk mengadakan semakan adalah bagi Tempoh Terlepas [1974–2021], ia tidak seharusnya menghalang semakan bagi tahun-tahun semasa memandangkan Kerajaan Persekutuan tidak mempertikaikan formula 40 peratus serta keperluan untuk mengadakan semakan,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri tetap komited untuk memastikan hak Sabah dilaksanakan dan pada masa sama berharap rundingan dapat diteruskan dengan niat baik ke arah mencapai persetujuan bersama.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2025 berhubung hak perlembagaan Sabah ke atas 40 peratus hasil bersih Persekutuan, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan untuk menghormati keputusan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, tarikh tentatif pendengaran rayuan Kerajaan Persekutuan ditetapkan antara 27 hingga 30 Oktober 2026, manakala satu prosiding e-Review akan diadakan pada 13 April ini bagi mengesahkan tarikh sebenar pendengaran.

