KOTA KINABALU: Stok bekalan beras di Sabah adalah mencukupi meskipun terdapat laporan kekurangan di beberapa pasar raya berantai di sekitar Sepanggar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata, hasil pemantauan bersama pihak BERNAS Sabah serta wakil Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, termasuk lawatan ke gudang penyimpanan beras, mendapati bekalan mencukupi untuk sekitar Kota Kinabalu dan seluruh negeri.
Menurutnya, kekurangan sementara di sesetengah premis adalah berpunca daripada peningkatan pembelian panik dalam kalangan pengguna, sekali gus menyebabkan stok habis lebih cepat daripada kebiasaan.
“Saya ingin menegaskan bahawa stok beras adalah mencukupi dan terkawal. Namun, peningkatan pembelian panik menyebabkan pasar raya besar dan kedai runcit berantai kehabisan stok dengan lebih cepat.
“Di pasar dan kedai runcit biasa, bekalan jualan masih mencukupi dan boleh diperoleh oleh pengguna,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Sehubungan itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik, sebaliknya mengamalkan pembelian secara berhemah mengikut keperluan harian.
Beliau berkata, kerajaan MADANI komited memastikan keterjaminan bekalan makanan negara sentiasa terpelihara, termasuk di Sabah.
Katanya, pemantauan berkala akan terus dipergiatkan secara bersepadu melibatkan pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Kerajaan akan terus memastikan kesejahteraan rakyat kekal terjamin walaupun berdepan cabaran ketidaktentuan global dan krisis tenaga dunia,” katanya.

