Site icon TUHAU BAMBANGAN

Diesel catat rampasan tertinggi lebih RM2.1 juta dalam Ops Tiris 4.0 seluruh negara – Fadillah

PUTRAJAYA: Sebanyak 60 kes membabitkan diesel dengan nilai rampasan melebihi RM2.1 juta direkodkan dalam pelaksanaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), menjadikannya komoditi paling tinggi dikesan dalam aktiviti ketirisan setakat ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, dalam tempoh operasi dari 16 Mac hingga 5 April lalu, sebanyak 8,148 pemeriksaan dijalankan yang membawa kepada 155 kes melibatkan pelbagai barangan kawalan.

Menurutnya, selain diesel, sebanyak 47 kes melibatkan petrol RON95 dengan nilai rampasan RM51,299, diikuti 21 kes gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM37,822 serta 27 kes melibatkan minyak masak, gula dan tepung gandum.

“Kerajaan hari ini amat prihatin terhadap ketidaktentuan geopolitik global, khususnya konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan dunia serta mencetuskan ketidakstabilan harga tenaga dan barangan keperluan utama.

“Namun, kerajaan tidak akan membiarkan rakyat terkesan akibat gangguan bekalan dan kita telah memperkukuh kesiapsiagaan melalui langkah strategik dan bersepadu bagi memastikan keterjaminan bekalan kekal terkawal,” katanya pada sidang media harian krisis tenaga global di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengukuhan Ops Tiris 4.0 dilaksanakan melalui penyelarasan antara agensi di bawah Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertahanan (MINDEF), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

Tambah Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu, antara keputusan penting yang dipersetujui termasuk menetapkan agensi peneraju mengikut sektor iaitu KPDN bagi sektor darat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi sempadan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi perairan.

Selain itu, tindakan tegas akan diambil terhadap penyalahgunaan subsidi termasuk menggantung atau membatalkan kelulusan fleet card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) serta subsidi diesel nelayan.

Kerajaan juga akan memperkukuh kawal selia aktiviti bunkering dan menubuhkan pasukan khas Ops Tiris 4.0 di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan di peringkat negeri.

Dalam masa sama, pelaksanaan SKDS akan diperluaskan melalui penggunaan fleet card bagi sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Fadillah berkata, beberapa syor strategik akan dibentangkan secara berkala kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebagai langkah tambahan memastikan kestabilan bekalan negara.

“Fokus utama kerajaan bukan sahaja memastikan kestabilan bekalan, malah memperketat kawalan dan pemantauan pengedaran agar tiada ketirisan berlaku dalam situasi mencabar ini,” katanya.

Exit mobile version