Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pelepasan ikan asing punca berlaku wabak KHV, ikan Pelian terjejas teruk di sungai utama – Jamawi

KOTA KINABALU: Siasatan lapangan mendapati punca utama penularan wabak Koi Herpesvirus (KHV) yang menyebabkan kematian ikan pelian di Sabah adalah berpunca daripada pelepasan ikan asing, khususnya ikan koi dan spesies lain daripada keluarga Cyprinidae yang bukan endemik ke dalam perairan umum tanpa kawalan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu telah melanggar prinsip biosekuriti dan mencetuskan jangkitan serius kepada spesies tempatan.

Menurutnya, kejadian kematian ikan secara besar-besaran itu melibatkan beberapa sungai utama di daerah Keningau, Tambunan, Tenom, Penampang, Tuaran, Ranau dan Sipitang sejak 1 Ogos 2025.

Beliau berkata, hasil analisis makmal oleh Makmal Biosekuriti Jabatan Perikanan Sabah di Kompleks Perikanan Likas mengesahkan KHV sebagai punca utama kejadian tersebut.

“KHV merupakan virus patogen berbahaya yang menyerang ikan daripada keluarga Cyprinidae dan diklasifikasikan sebagai penyakit akuakultur berimpak tinggi dengan kadar kematian antara 80 hingga 100 peratus.

“Ia aktif dalam suhu air sekitar 18 hingga 28 darjah Celsius dan menjadi lebih agresif apabila berlaku perubahan suhu secara mendadak, selain boleh merebak melalui air, sentuhan langsung, peralatan tercemar serta pemindahan ikan hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jamawi berkata keadaan musim kemarau yang sedang berlaku turut meningkatkan suhu air, sekali gus mewujudkan persekitaran sesuai untuk pengaktifan virus dan mempercepatkan penularan wabak.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri mengambil tindakan tegas dengan mengarahkan Jabatan Perikanan Sabah mengeluarkan pekeliling khas kepada semua daerah bagi pelaksanaan kawalan segera.

“Semua Pengerusi Tagal diarahkan mengenal pasti, menangkap dan mengeluarkan ikan koi serta spesies Cyprinidae bukan endemik dari kawasan tagal dan sungai.

“Ikan tersebut hendaklah dimusnahkan serta-merta mengikut prosedur operasi standard (SOP) pelupusan biosekuriti dan sebarang pelepasan semula adalah dilarang sama sekali,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut mengenakan larangan sementara terhadap semua aktiviti import dan eksport ikan daripada keluarga Cyprinidae ke dan dari Sabah, termasuk ikan hidup, benih, induk serta sebarang bentuk pemindahan biologi berisiko.

Tambahnya, penguatkuasaan di bawah Enakmen Perikanan Darat Sabah akan diperkukuhkan tanpa kompromi.

“Mana-mana pihak yang melanggar arahan termasuk melepaskan ikan asing ke perairan umum atau gagal mematuhi arahan pemusnahan akan dikenakan tindakan undang-undang tegas,” katanya.

Jamawi turut mengingatkan pengusaha akuakultur, penternak ikan hiasan dan orang awam supaya mematuhi sepenuhnya keperluan biosekuriti serta tidak membawa masuk atau melepaskan spesies ikan asing ke perairan umum.

Beliau menegaskan, wabak berkenaan merupakan ancaman serius terhadap biodiversiti perairan darat Sabah dan berpotensi menyebabkan kepupusan spesies ikan endemik seperti ikan pelian sekiranya tidak ditangani secara agresif dan bersepadu.

“Tiada kompromi terhadap ancaman biosekuriti – tindakan tegas akan diambil tanpa pengecualian,” katanya.

Exit mobile version