KOTA KINABALU: Hasil autopsi psikologi mendapati kematian remaja perempuan, Zara Qairina Mahathir, 13, adalah paling konsisten dengan tindakan mengakhiri nyawa sendiri, menurut pakar psikiatri forensik, Chua Sze Hung.
Beliau berkata, penilaian mendapati mangsa mempunyai lebih banyak faktor risiko berbanding faktor perlindungan ketika insiden berlaku, sekali gus menunjukkan ketidakseimbangan yang meningkatkan kecenderungan terhadap tindakan tersebut.
“Pada pandangan saya, ketika insiden berlaku, si mati menunjukkan dominasi faktor risiko berbanding faktor perlindungan.
“Ketidakseimbangan ini menjadikan beliau lebih terdedah kepada tindakan tersebut. Gabungan masalah sedia ada bersama peristiwa semasa dipercayai menjadi pencetus kepada tindakan terakhirnya,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner, Amir Shah Amir Hassan.
Menurutnya, keadaan tekanan emosi yang amat berat, pertimbangan yang terganggu serta keupayaan mengawal diri yang semakin lemah turut menyumbang kepada kemungkinan tindakan itu dilakukan tanpa perancangan terperinci.
“Ini menggambarkan kemungkinan perbuatan itu dilakukan untuk menamatkan penderitaan, dan bukan satu tindakan yang dirancang secara terperinci,” katanya.
Dalam prosiding inkues itu, ibu mangsa, Noraidah Lamat diwakili barisan peguam diketuai Peguam Shahlan bersama Datuk Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Sementara itu, bapa mangsa, Mahathir Mohd Hashim diwakili Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Turut mewakili lima remaja lain dalam inkues berkenaan ialah Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan bagi pelajar A, manakala empat lagi pelajar diwakili Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan.
Pasukan pegawai pengendali pula terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama sekolahnya pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1).

