Site icon TUHAU BAMBANGAN

DBKK roboh 23 struktur tempat persembunyian PATI di kawasan Bukit Sepanggar

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merobohkan sebanyak 23 struktur haram yang dipercayai dijadikan tempat persembunyian Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi bersepadu di kawasan hutan berbukit berhampiran Taman Bukit Sepanggar dan Kampung Bandulan baru-baru ini.

Operasi yang dilaksanakan melalui Jabatan Penguatkuasaan DBKK itu dijalankan susulan aduan orang awam berhubung kewujudan penempatan setinggan menggunakan kem terpal di lokasi berkenaan.

Menurut kenyataan DBKK, operasi bermula sekitar jam 1.45 petang dengan penglibatan 11 anggota penguat kuasa yang diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaan, selain dibantu enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Manggatal dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), diketuai Sarjan Teddy.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 23 struktur sementara dibina menggunakan kanvas dan batang kayu di kawasan berbukit serta curam, dipercayai dijadikan tempat persembunyian bagi mengelak tindakan penguatkuasaan terhadap PATI,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

Pemeriksaan lanjut mendapati kawasan terbabit tidak mempunyai sebarang kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, selain berada dalam keadaan tidak terurus, tidak selamat untuk didiami serta berisiko dari aspek keselamatan dan kebersihan.

Sehubungan itu, DBKK dengan kerjasama PDRM telah mengambil tindakan meroboh dan mengalihkan kesemua struktur haram berkenaan.

Dalam operasi sama, pihak PDRM turut menjalankan pemeriksaan dokumen di lokasi dan menahan seorang lelaki dewasa bagi tujuan siasatan lanjut mengikut bidang kuasa polis.

Operasi berkenaan berakhir sekitar jam 6.00 petang dalam keadaan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

DBKK menegaskan akan terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan kawasan bandar raya bebas daripada penempatan haram, di samping memelihara keselamatan, kesejahteraan awam serta kelestarian persekitaran selaras dengan aspirasi bandar raya pintar dan lestari.

Exit mobile version