Site icon TUHAU BAMBANGAN

Polis palsu minta sumbangan Raya, PDRM Kota Kinabalu buka siasatan

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap kegiatan penipuan melibatkan individu yang menyamar sebagai pegawai polis bagi meminta sumbangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini.

Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerima laporan berhubung modus operandi tersebut yang dikaitkan dengan permohonan sumbangan bagi Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Trafik dan Pengangkutan IPK Sabah tahun 2026.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek menggunakan surat palsu dengan kepala surat PDRM Kontinjen Sabah bagi memperdaya orang ramai untuk menyalurkan sumbangan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai sebarang permohonan sumbangan yang mengaitkan nama pihak polis, khususnya yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.

“Orang ramai disarankan membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak polis sebelum melakukan sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Menurutnya, PDRM turut menyeru semua lapisan masyarakat supaya lebih peka terhadap taktik penipuan yang semakin licik dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

“Penglibatan masyarakat amat penting dalam memastikan jenayah penipuan dapat dibendung dan orang ramai tidak menjadi mangsa,” katanya.

Exit mobile version