Site icon TUHAU BAMBANGAN

Ekonomi Sabah kekal kukuh hadapi tekanan global – Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah dijangka terus berkembang kukuh meskipun berdepan tekanan global termasuk kemelesetan ekonomi dunia susulan konflik berpanjangan di Timur Tengah dan Eropah Timur, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata keyakinan itu didorong pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menjadi teras utama agenda pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang, selain selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sehingga 2030.

“Melalui Hala Tuju SMJ 2.0, saya yakin ekonomi negeri mampu berkembang dengan positif meskipun berdepan tekanan luaran termasuk kesan kemelesetan ekonomi dunia akibat peperangan yang sedang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan menjunjung kasih pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata pergolakan global turut menjejaskan bekalan minyak dunia sekali gus mencetuskan krisis tenaga yang berpotensi dirasai negara ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat agar mengamalkan langkah berjimat cermat khususnya dalam perbelanjaan dan penggunaan kenderaan harian.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya berhemah dalam penggunaan air susulan peningkatan suhu yang menunjukkan tanda-tanda fenomena El-Nino yang boleh menyebabkan kemarau panjang.

“Rakyat juga dinasihatkan mengelakkan pembakaran terbuka dan mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas melampau,” katanya.

Menyentuh prestasi ekonomi negeri, beliau berkata kerajaan mula menerokai potensi Ekonomi Biru sebagai pemacu strategik baharu di bawah SMJ 2.0 berasaskan kelebihan maritim dan biodiversiti Sabah.

“Ia meliputi pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik serta pelancongan lestari, selain memanfaatkan sungai sebagai nadi ekonomi luar bandar,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif itu turut merangkumi perlindungan pesisir pantai, bakau dan terumbu karang serta pembangunan karbon biru ke arah pertumbuhan ekonomi bernilai tambah tinggi.

“Ekonomi Biru ini dijangka mampu menjana pendapatan hasil laut sehingga RM3.25 bilion setahun,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji menegaskan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan lancar, teratur dan berkesan.

Beliau berkata projek keutamaan melibatkan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan perlu dipantau rapi agar dilaksanakan mengikut jadual.

Sempena sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri, beliau turut mengajak seluruh kepimpinan negeri termasuk penjawat awam dan sektor swasta untuk terus memperkukuh iltizam dalam memacu kemajuan Sabah demi kesejahteraan rakyat.

Exit mobile version