KOTA KINABALU: Lima lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes kejar dan serangan terhadap seorang guru lelaki dalam kejadian yang berlaku berhampiran Jesselton Quay (JQ), di sini, baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 28 Mac 2026 kira-kira jam 2.35 petang daripada mangsa berusia 30 tahun.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1.45 petang hari sama selepas mangsa selesai menghadiri satu majlis di Sabah International Convention Centre (SICC).
“Siasatan awal mendapati mangsa berdepan dengan beberapa individu dipercayai pekerja sebuah premis berhampiran kawasan parkir di Pelabuhan Kota Kinabalu sebelum berlaku provokasi lisan yang mencetuskan ketegangan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian mengundurkan kenderaannya dan secara tidak sengaja melanggar sebuah kenderaan lain sebelum beberapa individu bertindak mengejar serta bertindak agresif.
“Suspek memecahkan cermin bahagian pemandu dan cermin belakang kenderaan mangsa, selain mangsa turut mendakwa diugut supaya keluar dari kenderaan,” katanya.
Bertindak atas maklumat, polis menjalankan operasi segera dan berjaya menahan lima suspek bagi membantu siasatan, selain permohonan reman akan dibuat dalam masa terdekat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Polis menegaskan siasatan akan dijalankan secara telus dan adil, selain menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

