KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga bahan api itu meningkat di pasaran, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, keputusan itu diambil dengan mengambil kira faktor geografi serta cabaran logistik di kedua-dua negeri berkenaan, selain memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
“Sabah dan Sarawak akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter walaupun harga diesel telah melambung naik. Memandangkan keadaan geografi dan logistik Sabah Sarawak, kita mengambil keputusan yang munasabah pada peringkat ini,” katanya dalam perutusan khas pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa langkah pengawalan dan penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi mengekang ketirisan serta aktiviti penyeludupan yang dikesan semakin membimbangkan.
Sehubungan itu, kerajaan akan melaksanakan had pengisian diesel bagi memastikan bekalan dapat diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua pengguna.
Menurut Anwar, kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian dihadkan maksimum 50 liter setiap pembelian, manakala kenderaan pengangkutan tidak melebihi tiga tan dihadkan kepada 100 liter.
Bagi kenderaan melebihi tiga tan pula, had maksimum ditetapkan sebanyak 150 liter setiap pembelian.
“Ini untuk menjamin agar bekalan ada dan dapat diagihkan secara adil. Tanpa penyesuaian ini, kita bimbang ada kecenderungan untuk mengumpul dan menyeludup seperti yang telah dikesan,” katanya.
Beliau turut mengakui langkah tersebut mungkin menimbulkan sedikit kesulitan kepada sebahagian rakyat, namun menegaskan ia perlu dilaksanakan demi kepentingan bersama.
“Langkah ini terpaksa diambil untuk menjaga kepentingan ramai. Saya mohon pengertian dan kerjasama rakyat untuk mengelakkan ketirisan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar memberi amaran bahawa kerajaan akan memperketat penguatkuasaan dengan menggerakkan seluruh jentera bagi membanteras aktiviti penyeludupan subsidi.
“Kita tidak boleh beri subsidi dan kemudian lihat penyeludupan mencecah ratusan juta ringgit setiap bulan. Amaran keras diberikan, setiap kegiatan penyeludupan akan berhadapan dengan tindakan tegas kerajaan,” tegas beliau.

