TENOM: Insiden perlanggaran antara sebuah kereta api (Railbus) dengan motor troli di KM134/4 Pangi, di sini, pada 3 Mac lalu disahkan berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal menjalankan pemeriksaan jentera sebelum memulakan perjalanan.
Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian melibatkan Railbus RB8801 yang sedang dalam perjalanan dari Stesen Tenom menuju KM134/4.
Menurut kenyataan itu, siasatan dalaman yang dijalankan oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) melalui Board of Enquiry (BOE) pada 9 Mac lalu mendapati pemandu gagal menjalankan pemeriksaan ke atas jentera selain tidak menutup isolating valve pada Tenom End Driving Cab serta tidak melakukan ujian dinamik bagi memastikan sistem brek berfungsi dengan baik.
“Keadaan ini menyebabkan sistem brek Railbus RB8801 tidak berfungsi sepenuhnya, sekali gus mengakibatkan perlanggaran dengan motor troli di lokasi kejadian,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, selepas Railbus berhenti di KM133/8, pemandu telah memeriksa serta membetulkan kedudukan isolating valve sebelum menjalankan ujian pandu.
Ujian tersebut mendapati sistem brek kembali berfungsi dengan baik, membolehkan Railbus kembali ke Stesen Tenom tanpa memerlukan bantuan atau ditarik oleh jentera lain.
Menurut JKNS, pemeriksaan lanjut oleh Penolong Jurutera sejurus jentera kembali ke stesen turut mengesahkan sistem brek beroperasi sepenuhnya.
Perkhidmatan kereta api kemudian kembali beroperasi seperti biasa pada 4 Mac menggunakan jentera yang sama dan sehingga kini Railbus RB8801 dilaporkan beroperasi tanpa sebarang masalah.
“Siasatan dijalankan secara menyeluruh meliputi laporan kejadian, keterangan kakitangan Bahagian Kejuruteraan Jentera, rakaman Digital Mobile Video Recorder (DMVR) serta pemeriksaan teknikal dan simulasi di lokasi kejadian,” menurut JKNS.
Sehubungan itu, tindakan tatatertib akan disyorkan terhadap pemandu berkenaan mengikut Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (PPPANS) 2008 [Tatakelakuan Perkara 208(2)(j)] kerana cuai dalam menjalankan tugas.
JKNS turut memaklumkan beberapa langkah penambahbaikan akan dilaksanakan bagi memperkukuh prosedur operasi serta meningkatkan pematuhan terhadap aspek keselamatan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“Keselamatan penumpang dan perkhidmatan keretapi sentiasa menjadi keutamaan Jabatan Keretapi Negeri Sabah dan perkhidmatan yang beroperasi adalah selamat untuk digunakan oleh orang awam,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, JKNS mengingatkan bahawa berdasarkan Enakmen Keretapi Negeri Sabah 2017, kawasan rezab kereta api adalah kawasan larangan dan sebarang aktiviti di landasan perlu mendapat kelulusan Menteri melalui syor Pengarah JKNS.
Penggunaan motor troli yang dibina menggunakan motosikal di atas landasan tanpa kebenaran juga merupakan satu kesalahan kerana boleh menyebabkan kerosakan rel serta menjejaskan keselamatan operasi kereta api.
Insiden perlanggaran tersebut telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu.

