Site icon TUHAU BAMBANGAN

AJK Bersatu Beluran keluar parti, dakwa perjuangan semakin menyimpang

BELURAN: Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Beluran mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan parti serta keluar daripada keahlian parti berkuat kuasa serta-merta selepas mendakwa perjuangan parti kini semakin menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya.

Setiausaha Bersatu Bahagian Beluran, Hamdan Tarawie berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pihaknya hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, parti yang sebelum ini diasaskan atas semangat memperjuangkan kepentingan rakyat, integriti dalam politik serta membela nasib Bumiputera, khususnya di Sabah, kini dilihat semakin jauh daripada prinsip perjuangan tersebut.

“Parti ini pada asalnya diasaskan atas semangat mempertahankan kepentingan rakyat serta memperjuangkan integriti dalam politik. Namun apa yang berlaku kebelakangan ini menunjukkan parti semakin jauh daripada matlamat asal tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau mendakwa parti kini lebih tertumpu kepada agenda tertentu yang dilihat mengangkat presiden sebagai “poster boy” dan calon Perdana Menteri sehingga segala keputusan dan tindakan dalam parti dianggap berpaksikan kepentingan tersebut.

Hamdan turut memandang serius tindakan pemecatan serta tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin utama parti termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin, selain tindakan terhadap Dr Ronald Kiandee dan Datuk Wira Mas Ermieyati.

Menurutnya, tindakan tersebut menimbulkan persepsi bahawa lembaga disiplin parti telah diperalatkan sebagai alat politik untuk menyingkirkan pemimpin yang tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi.

“Tindakan ini bukan sahaja menjejaskan prinsip keadilan dalam parti, malah menghakis kepercayaan ahli terhadap ketelusan dan integriti proses disiplin yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik,” katanya.

Tambah beliau, keadaan tersebut turut menimbulkan kebimbangan apabila isu perjuangan rakyat Sabah, khususnya Bumiputera Sabah, dilihat semakin terpinggir dalam agenda parti.

Sehubungan itu, katanya, semua AJK Bersatu Bahagian Beluran memutuskan untuk meletakkan jawatan serta-merta sebagai langkah mempertahankan prinsip perjuangan dan maruah politik yang dipegang selama ini.

“Kami percaya perjuangan untuk rakyat, khususnya Bumiputera Sabah, mesti diteruskan atas landasan yang lebih jujur, berprinsip dan bebas daripada kepentingan peribadi mana-mana individu,” katanya.

Exit mobile version