Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah tolak penangguhan kes hasil 40 peratus, sedia lawan di Mahkamah – Brenndon

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan membantah permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi berkaitan semakan dan penentuan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan dari negeri ini bagi tempoh 1974 hingga 2021, yang dikenali sebagai “Tahun-Tahun Yang Hilang.”

Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh berkata, Jabatan Peguam Besar Negeri mengesahkan bahawa Sabah akan menentang permohonan penangguhan yang difailkan oleh pihak Peguam Negara Persekutuan berhubung perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025 itu.

Menurutnya, perintah berkenaan mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan bersama Kerajaan Negeri Sabah bagi melaksanakan pemberian khas 40 peratus selaras dengan kerangka Perlembagaan serta mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari, iaitu selewat-lewatnya pada 15 April 2026.

“Sejak keputusan tersebut dikeluarkan, Kerajaan Negeri Sabah kekal komited sepenuhnya untuk mematuhi isi dan maksud keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

“Kerajaan Negeri juga secara konsisten terlibat dalam proses libat urus bersama pihak berkuasa Persekutuan termasuk mengadakan beberapa mesyuarat serta perbincangan teknikal bagi bertukar maklumat, mengesahkan data dan mempertimbangkan kaedah sesuai bagi menentukan jumlah amaun pemberian khas 40 peratus kepada Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Brenndon berkata semua perbincangan tersebut dilaksanakan secara konstruktif, telus dan dengan niat baik bagi mencapai penyelesaian yang adil serta berprinsip dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah melengah-lengahkan atau gagal memberi kerjasama dalam melaksanakan perintah mahkamah berkenaan.

“Sebaliknya, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah aktif dan berterusan bagi memastikan proses yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi dapat dilaksanakan secara teratur dan produktif,” katanya.

Menurut beliau, Sabah kekal bersedia untuk meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan secara konstruktif bagi mencapai keputusan yang dipersetujui bersama selaras dengan peruntukan Perlembagaan berkaitan pemberian khas tersebut.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan turut memperuntukkan mekanisme sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan, iaitu melalui pelantikan seorang penilai bebas yang syornya adalah mengikat kepada kedua-dua kerajaan.

“Jaminan perlembagaan ini memastikan proses semakan di bawah Perlembagaan Persekutuan dapat diselesaikan secara teratur walaupun sekiranya tiada persetujuan bersama dapat dicapai,” katanya.

Sehubungan itu, Brenndon berkata kedua-dua pihak perlu terus memberi tumpuan kepada rundingan yang sedang berjalan bagi memenuhi terma Perintah Mahkamah Tinggi dan mencapai penyelesaian yang adil dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah akan sentiasa mengambil langkah undang-undang yang sewajarnya bagi melindungi hak dan kepentingan Negeri Sabah, di samping menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, perlembagaan serta semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Exit mobile version