Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki maut, motosikal ditunggang langgar belakang Bezza di Jalan Tun Fuad Stephen

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Perodua Bezza dalam kemalangan di Jalan Tun Fuad Stephen di sini, awal pagi Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1 pagi 12 Mac yang berlaku di atas jambatan jalan berkenaan.

Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah Perodua Bezza yang dipandu wanita tempatan berusia 20 tahun dan sebuah motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang lelaki tempatan berusia 21 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati kereta berkenaan bergerak dari arah pusat bandar menuju ke Telipok. Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang berada di belakang dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kanan kereta tersebut sebelum terbabas di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat yang dijadualkan pada hari yang sama.

Syed berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala kedua-dua kenderaan terlibat telah ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Puspakom.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil rakaman percakapan saksi serta waris bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kota Kinabalu, Inspektor See Hong Ling di talian 6018-9091014.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu dengan lebih berhati-hati terutama pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Exit mobile version