TUARAN: Kerajaan Negeri berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional dengan beralih kepada sistem tenaga yang lebih pelbagai, lestari dan mesra alam, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata langkah itu selari dengan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang menjadi kompas strategik dalam merancang masa depan sektor tenaga negeri secara menyeluruh.
“Melalui usaha memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu seperti solar dan hidro, kita bukan sahaja mengimbangi campuran tenaga negeri, malah membina daya tahan yang kukuh dalam menghadapi cabaran global serta krisis iklim.
“Usaha ini adalah pelaburan penting bagi memastikan Sabah kekal hijau dan makmur untuk dekad-dekad akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Solar Skala Besar 15 Megawatt (MW) Tuaran dan Iftar Ramadan Sabah Energy Corporation (SEC) di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik, di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, pelancaran projek Solar Skala Besar 15MW itu membuktikan sinergi kukuh antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC), khususnya Sabah Energy Corporation (SEC) dengan visi dasar pembangunan tenaga negeri.
Beliau turut memuji SEC atas kejayaan melaksanakan projek solar kedua selepas projek 5MW di Labuan, yang menurutnya membuktikan kredibiliti serta kemampuan teknikal dan komersial syarikat itu dalam menerajui sektor tenaga boleh baharu.
“Projek solar ini bukan sekadar menambah kapasiti 15MW kepada sistem tenaga negeri, malah membawa signifikan besar dalam transformasi struktur tenaga Sabah,” katanya.
Hajiji berkata sepanjang fasa pembinaan projek tersebut, seramai 150 tenaga kerja akan terlibat secara langsung termasuk tenaga kerja tempatan.
Katanya, projek itu juga menjadi platform terbaik bagi anak tempatan menimba pengalaman industri serta menguasai kemahiran dalam teknologi tenaga boleh baharu.
“Apabila projek ini beroperasi sepenuhnya kelak, ia dijangka mewujudkan kira-kira 50 peluang pekerjaan baharu dalam bidang operasi, penyelenggaraan, teknikal dan sokongan pentadbiran.
“Inisiatif ini bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan isi rumah, malah memperkukuh ekosistem tenaga hijau di Sabah. Inilah intipati pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 iaitu pembangunan yang bukan sekadar angka, tetapi pertumbuhan yang menjana peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran rakyat dan memberi limpahan ekonomi terus kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau menegaskan projek tersebut turut memberi isyarat jelas bahawa Sabah komited dalam memperkukuh keselamatan tenaga negeri.
“Sabah tidak boleh ketinggalan dalam arus perubahan ini dan kita perlu memastikan pembangunan ekonomi berjalan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Kerajaan Negeri kekal komited memperkasakan agenda pembangunan negeri di bawah kerangka SMJ 2.0 dan dalam usaha menjayakan agenda besar ini, sektor tenaga berdiri sebagai nadi yang paling kritikal,” katanya.

