Site icon TUHAU BAMBANGAN

CDO Elopura salah guna kuasa bantu saudara dapat rumah SMJ bernilai RM70,000 didakwa di Mahkamah

SANDAKAN: Seorang Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi membantu saudaranya mendapatkan bantuan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bernilai RM70,000.

Tertuduh, Herman Idris, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Pegawai Kemajuan Masyarakat bagi DUN N.55 Elopura didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi saudaranya, Amir Ismail dengan mencadangkan individu itu sebagai penerima bantuan kemiskinan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 September 2022 kira-kira jam 2.30 petang di Dewan Persidangan Libaran, Tingkat 1, Wisma Perbandaran, Majlis Perbandaran Sandakan semasa Mesyuarat Focus Group Daerah Sandakan JKTD Bil.2/2022.

Hasil daripada cadangan tersebut, individu berkenaan dilaporkan berjaya dipilih sebagai penerima bantuan Rumah Mesra SMJ bagi daerah Sandakan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan deposit RM6,000 serta menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sandakan setiap dua bulan sekali selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 1 April 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Dzulkarnain Rousan Hasbi manakala tertuduh diwakili peguam Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon dari Tetuan Lincon & Co.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Exit mobile version