Site icon TUHAU BAMBANGAN

BKM: Bantuan tambahan, RM100 untuk isi rumah, RM50 untuk bujang

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan bahawa bantuan tunai tambahan berjumlah RM100 akan diberikan kepada golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang melalui BKM.

Menurutnya, bayaran akan dilakukan secara berperingkat bermula 27 Jun 2022 (Isnin) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion.

“Mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini, kerajaan mengambil keputusan untuk menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang.

Tambahnya lagi, setakat ini 8.6 juta penerima BKM telah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2500 pada tahun 2022.

Malah, bantuan ini merupakan bantuan yang tertinggi setakat ini yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan.

“Bayaran fasa 2 BKM melibatkan peruntukan sebanyak RM1.11 bilion dan setiap penerima BKM menerima sehingga RM400 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing.

“Setiap penerima dengan bantuan tambahan ini bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Perdana Menteri juga berkata pembayaran BKM ini juga diharap dapat meringankan beban kewangan golongan B40 terutamanya dalam menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version