TENOM: Enam individu yang digelar sebagai “unsung hero” dalam insiden kereta api kehilangan fungsi brek di Kampung Pangi baru-baru ini menerima sumbangan motosikal sebagai tanda penghargaan atas keberanian dan bantuan mereka ketika kejadian tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sumbangan enam buah motosikal itu disampaikan kepada penerima dalam satu program ringkas tetapi bermakna yang diadakan hari ini.
Menurut beliau, motosikal berkenaan merupakan sumbangan daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sebagai tanda penghargaan terhadap tindakan pantas dan keberanian mereka membantu ketika insiden kereta api kehilangan fungsi brek di Kampung Pangi empat hari lalu.
“Bagi mewakili semua penerima, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Datuk Seri atas keprihatinan beliau terhadap masyarakat yang telah menunjukkan keberanian dalam membantu ketika kejadian tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.
Enam penerima motosikal itu ialah Sarudi Siden, Julintoh Landan, Lewi Rani, Mike Yulon, Leinto Landan dan Tunih Rani.
Jamawi yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim, yang membantu mempermudahkan urusan penyaluran sumbangan tersebut.
Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada pemandu kereta api yang berjaya mengawal kenderaan itu dengan baik ketika insiden berkenaan sehingga keadaan dapat ditangani dengan selamat.
Beliau berharap sumbangan motosikal tersebut dapat memberi manfaat kepada penerima serta menjadi pemangkin semangat kepada mereka dan masyarakat kampung untuk terus berusaha memajukan ekonomi keluarga.
Turut hadir pada program tersebut ialah Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liaw serta pimpinan masyarakat Majlis Amanah Rakyat (MAN) Tenom.

