Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kerajaan pusat tidak serius laksana syor RCI PATI Sabah, hanya 13 mesyuarat lebih sedekad – Madius

TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan yang didakwanya tidak mengambil serius pelaksanaan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah apabila hanya 13 mesyuarat diadakan dalam tempoh lebih sedekad.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Khamis susulan jawapan bertulis yang diterima daripada Kementerian Dalam Negeri Malaysia pada Persidangan Dewan Rakyat Malaysia.

Menurutnya, dalam soalan bukan lisan yang dikemukakan, beliau meminta penjelasan mengenai sumbangan RCI sejak laporan itu diserahkan kepada kerajaan pada 2014 dalam menangani kesan negatif isu “Projek IC” di Sabah.

Madius berkata berdasarkan jawapan kementerian, RCI mengenai PATI di Sabah ditubuhkan pada 2012 dan laporannya diserahkan kepada kerajaan pada 2014 sebelum membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah (JKPWAS) pada 3 Disember 2014.

“Sejak penubuhan jawatankuasa itu, kementerian memaklumkan hanya sebanyak 13 mesyuarat telah diadakan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan angka tersebut sebagai bukti jelas ketidakseriusan kerajaan dalam menangani isu berkenaan.

“Dalam tempoh lebih 10 tahun, mesyuarat hanya diadakan sebanyak 13 kali. Tidak sampai pun purata sekali setahun. Ini menunjukkan kerajaan tidak benar-benar serius menangani isu yang sangat kritikal kepada rakyat Sabah,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli.

Madius turut mempersoalkan fokus perbincangan mesyuarat tersebut yang menurut jawapan kementerian lebih tertumpu kepada hal semasa seperti pelaksanaan Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Sabah (SWIMS) serta pemberian moratorium penguatkuasaan.

“Yang dibincangkan pula lebih kepada hal-hal semasa dan pengurusan pentadbiran, bukan pelaksanaan menyeluruh syor-syor RCI. Kalau begitu, apa gunanya RCI ditubuhkan dan laporan tebal disediakan jika syor-syornya tidak dilaksanakan secara bersungguh-sungguh?” tegasnya.

Dalam jawapan bertulis itu, kementerian turut memaklumkan Mesyuarat JKPWAS Ke-13 pada 14 Ogos 2025 antara lain memutuskan lanjutan tempoh Program Pendataan Digital Warga Asing melalui SWIMS sehingga 31 Disember 2028 serta pemberian moratorium kepada pekerja asing yang telah mendaftar dalam sistem tersebut.

Sehingga 31 Disember 2025, seramai 122,228 pekerja asing telah didatakan, dengan 67.3 peratus daripadanya dikenal pasti sebagai pekerja asing tidak sah.

Madius menegaskan isu PATI di Sabah bukan sekadar soal pengurusan data atau moratorium sementara, sebaliknya berkait rapat dengan soal kedaulatan, keselamatan dan hak perlembagaan rakyat negeri ini.

“RCI diwujudkan untuk merungkai isu besar yang membelenggu Sabah sejak sekian lama. Jika selepas lebih 10 tahun hanya 13 mesyuarat diadakan dan tiada pelaksanaan menyeluruh terhadap syor-syor utama, ini jelas mencerminkan ketidakseriusan kerajaan dalam menyelesaikan isu PATI secara tuntas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Persekutuan menetapkan garis masa yang jelas bagi melaksanakan syor-syor utama RCI bagi memulihkan keyakinan rakyat Sabah terhadap usaha menyelesaikan isu berkenaan.

Exit mobile version