PENAMPANG: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dipercayai cuba terjun dari tingkat lima bangunan Megalong Mall di Donggongon berjaya diselamatkan selepas dipujuk oleh pasukan bomba dalam satu operasi petang tadi.
Menurut Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Zeno Tingalan, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 5.19 petang sebelum sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera Vigo digerakkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian dan mendapati seorang mangsa wanita berada di tingkat lima bangunan dipercayai cuba untuk terjun. Anggota operasi segera menjalankan usaha memujuk mangsa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, usaha memujuk yang dilakukan oleh anggota bomba berjaya dan mangsa akhirnya bersetuju untuk turun dengan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi yang diketuai oleh Komander Operasi Callixtus Fedilis itu dikawal sepenuhnya sebelum ditamatkan pada jam 6 petang selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

