Site icon TUHAU BAMBANGAN

Hajiji sumbang motosikal baharu kepada enam wira insiden kereta api di Kg Pangi

TENOM: Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, bersetuju menyumbangkan motosikal baharu kepada enam anak muda yang kehilangan motosikal troli mereka selepas digunakan untuk membantu memperlahankan kereta api yang mengalami kegagalan brek di Kampung Pangi, di sini, awal pagi kelmarin.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, selepas beliau dihubungi Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim.

Menurut Jamawi, sumbangan itu adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap keberanian enam anak muda terbabit yang bertindak pantas membantu mengelakkan kemungkinan tragedi lebih besar.

“Saya telah dihubungi Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang memaklumkan bahawa Ketua Menteri bersetuju menyumbangkan motosikal baharu bagi menggantikan enam motosikal troli yang musnah atau rosak dalam insiden kereta api kehilangan fungsi brek di Kampung Pangi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau yang mewakili enam anak muda terbabit turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan Ketua Menteri terhadap tindakan berani mereka.

Menurutnya, kejadian itu menyaksikan kereta api yang membawa guru-guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi mengalami masalah brek sehingga tidak dapat dikawal sepenuhnya oleh pemandu.

Bagaimanapun, tindakan pantas enam pemilik motosikal troli yang meletakkan kenderaan mereka di atas landasan berjaya memperlahankan pergerakan kereta api berkenaan.

“Jika tiada enam motosikal troli yang diletakkan di atas landasan, kemungkinan bencana yang lebih besar boleh berlaku kerana kelajuan kereta api tidak dapat dikawal oleh pemandu ketika itu,” katanya.

Jamawi turut memuji ketenangan pemandu kereta api yang berjaya mengawal situasi tanpa panik sehingga insiden tersebut dapat ditangani dengan selamat.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan enam anak muda berkenaan sebagai “wira tidak didendang” yang telah menunjukkan keberanian dan keprihatinan demi keselamatan orang lain.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada guru-guru SK Pangi yang terus komited mendidik anak bangsa di kawasan pedalaman walaupun berdepan cabaran.

“Semoga para guru tidak lemah semangat untuk terus mendidik anak-anak di pedalaman. Saya amat bangga dengan komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan,” katanya.

Exit mobile version