KOTA KINABALU: Golongan anak yatim dan asnaf diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Musa Aman di Magellan Sutera Resort, pada Isnin.
Majlis berkenaan diserikan dengan keberangkatan Tun Musa bersama isteri, Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin, yang tiba kira-kira jam 6 petang dan disambut pengurusan tertinggi DBKK serta pegawai kanan jabatan dan agensi kerajaan.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; barisan Pembantu Menteri serta Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Dato’ Sri Haji Sabin Samitah.
Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim, golongan asnaf serta masjid-masjid sebagai tanda keprihatinan sempena Ramadan, sebelum diteruskan dengan tazkirah dan bacaan doa.
Tepat jam 6.29 petang, para hadirin berbuka puasa bersama sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Acara diteruskan dengan jamuan makan malam yang diserikan persembahan selingan, diikuti solat Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah serta moreh.
Majlis tersebut mencerminkan komitmen DBKK dalam menyemarakkan Ramadan melalui pendekatan kebajikan dan memperkukuh hubungan silaturahim antara kepimpinan negeri, agensi kerajaan serta masyarakat setempat.

