Site icon TUHAU BAMBANGAN

Mayat lelaki tidak dituntut, ditemui di sungai Petagas, polis mohon waris tampil

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu memohon kerjasama orang awam bagi membantu mengesan waris seorang lelaki yang ditemui meninggal dunia di tepi Sungai Petagas berhampiran kawasan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Putatan, pada Ahad lalu (1 Mac).

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi IPD Kota Kinabalu, siasatan awal mendapati mayat berkenaan ditemui oleh seorang nelayan yang melalui kawasan tersebut sebelum memaklumkan penemuan itu kepada pihak polis.

Pemeriksaan awal oleh Unit Forensik mendapati tiada sebarang kesan kecederaan atau tanda-tanda perbuatan jenayah pada tubuh mangsa.

Mayat kemudiannya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan lanjut termasuk proses pengecaman.

Sehubungan itu, polis meminta mana-mana ahli keluarga atau individu yang mengenali si mati agar tampil segera bagi membantu proses pengecaman dan urusan selanjutnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Polis turut merakamkan penghargaan atas kerjasama dan keprihatinan masyarakat dalam membantu menyalurkan maklumat bagi mengesan waris mangsa.

Exit mobile version