KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran sebagai biadab serta satu pencabulan nyata terhadap prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa.
Ketika mengemukakan usul mengecam serangan tersebut di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menegaskan bahawa serangan ke atas sebuah negara berdaulat dan merdeka melanggar prinsip asas yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Tindakan ketenteraan berterusan itu tentunya berisiko dan telah mula menimbulkan ketegangan serta eskalasi lebih besar, sekali gus menggugat kestabilan serantau terutamanya melibatkan negara-negara Teluk yang sebahagiannya diheret ke dalam kancah peperangan akibat serangan yang dimulakan Israel dengan sokongan Amerika Syarikat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia menyeru supaya gencatan senjata tanpa syarat dilaksanakan serta-merta bagi mengelakkan konflik terus merebak.
“Jika terdapat sebarang pertikaian, ia mesti diselesaikan melalui rundingan secara konstruktif di meja diplomasi,” katanya.
Anwar turut merujuk kenyataan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, yang menggesa semua negara anggota mematuhi undang-undang antarabangsa dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.
Menurut beliau, Israel merupakan satu-satunya negara yang didakwa terus-menerus melanggar ketetapan antarabangsa.
“Hari ini Iran, semalam Lebanon, sebelumnya Iraq, Syria, dan pembantaian terhadap umat serta rakyat Palestin di Gaza berterusan hingga kini,” ujarnya.
Tambah beliau, Malaysia berpandangan kerjasama negara-negara Teluk perlu diperkukuh bagi memastikan rundingan dapat dilaksanakan secara kolektif demi mempertahankan kebebasan dan kemerdekaan rantau tersebut.
“Konflik dijangka terus merebak dari satu negara ke negara lain. Malah terdapat kenyataan pemimpin Israel yang memberi amaran kepada Turki bahawa negara itu juga tidak terkecuali daripada kemungkinan serangan,” katanya.
Anwar menegaskan pendirian Malaysia kekal konsisten dalam menolak sebarang bentuk pencerobohan serta menggesa penyelesaian aman demi menjamin kestabilan dan keamanan serantau.

