KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 44 tahun maut selepas dipercayai terkena tembakan ketika menjalankan aktiviti memburu di kawasan Hutan Simpan Stesen Sapoda, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.17 malam berhubung seorang lelaki yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditemukan terbaring kira-kira 5.2 kilometer dari Pejabat Ladang Sapoda. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian kepala dan badan yang dipercayai akibat tembakan,” katanya dalam kenyataan media di sini pada Ahad.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati mangsa keluar memburu bersama seorang lelaki berusia 35 tahun pada awal pagi hari kejadian.
Susulan itu, polis menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan dan turut merampas selaras senapang bakakuk serta beberapa barangan berkaitan untuk tujuan analisis forensik dan balistik.
“Permohonan reman telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis yang masih berjalan.

