Site icon TUHAU BAMBANGAN

KDCA Paitan terima logistik 15 tan, perkukuh operasi bantuan

PAITAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut merangkap Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Datuk James Ratib memaklumkan bahawa KDCA Paitan telah menerima penghantaran logistik berskala besar berkapasiti 15 tan berupa bekalan makanan dan keperluan berkaitan bagi membantu mangsa banjir di kawasan Sugut dan Paitan.

James dalam satu kenyataan memaklumkan bekalan tersebut telah selamat tiba di pusat agihan KDCA Paitan baru-baru ini dan kini sedang diselaras untuk diagihkan secara berperingkat ke kampung-kampung terjejas serta Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi di kawasan terlibat.

“Penghantaran logistik ini memperkukuh peranan KDCA Paitan sebagai hab utama pengagihan bantuan, sekali gus memastikan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi serta dapat disalurkan secara tersusun dan efisien kepada rakyat yang terkesan akibat bencana banjir,” katanya di sini, semalam.

James turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, pasukan keselamatan, sukarelawan serta penyumbang yang terus memberikan komitmen dan kerjasama padu dalam menjayakan operasi bantuan ini.

Katanya lagi, pejabat ADUN akan terus memantau perkembangan semasa di lapangan dan memastikan segala bentuk bantuan yang diperlukan dapat disalurkan dengan segera demi kebajikan serta kesejahteraan rakyat di Sugut dan Paitan.

Exit mobile version