KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 34 tahun berstatus Pemastautin Tetap (MyPR) ditemui meninggal dunia dalam keadaan terapung di tepi Sungai Kalansanan, Kampung Kalansanan, Inanam, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 10.27 pagi daripada seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu berhubung penemuan mayat tersebut berhampiran jalan pintas ke Ujana Kingfisher.
“Sejurus menerima maklumat, pasukan polis yang berada berhampiran telah digerakkan ke lokasi kejadian. Siasatan awal mendapati mayat seorang lelaki berada kira-kira 30 meter dari jalan utama di tepi Sungai Kalansanan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau tanda-tanda perbuatan jenayah pada tubuh si mati,” jelasnya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian secara rasmi.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa.

