Site icon TUHAU BAMBANGAN

Hormati perbezaan, perkukuh perpaduan Sabah – Hajiji

TAMPARULI: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru rakyat Sabah supaya terus menghormati perbezaan antara satu sama lain bagi memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Beliau berkata perpaduan yang kukuh hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu dan saling menghargai kepelbagaian yang wujud dalam kalangan masyarakat.

“Perpaduan yang kukuh hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu dan saling menghargai kepelbagaian yang wujud dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Pesta Angpau 2026 anjuran Persatuan Chung Fook Tong bersama 10 persatuan Cina lain di Dewan Tun Hamdan, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri sentiasa menyokong program yang memperkukuh perpaduan rakyat, keharmonian antara kaum serta pembangunan sosial dan budaya selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Menurutnya, Pesta Angpau membuktikan kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat mampu membawa manfaat besar kepada kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri turut mengulangi harapan agar rakyat terus bersama kerajaan sebagai rakan kongsi dalam memperkukuh perpaduan dan mengekalkan kestabilan politik demi kelancaran pembangunan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.

“Saya juga mahu masyarakat Tionghua untuk terus menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam membawa pembangunan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata Pesta Angpau merupakan platform penting untuk memelihara dan berkongsi budaya serta nilai murni masyarakat Tionghua kepada seluruh rakyat, selain membuka ruang budaya tempatan dikenali lebih luas termasuk di peringkat antarabangsa.

“Lebih membanggakan, penganjuran pesta ini turut menggalakkan penyertaan masyarakat berbilang kaum, selaras dengan identiti Sabah yang terkenal sebagai negeri yang aman, harmoni dan penuh toleransi.

“Inilah kekuatan sebenar kita, kepelbagaian yang diraikan bersama, bukan perbezaan yang memisahkan,” katanya.

Exit mobile version