KUALA LUMPUR, 28 Feb – Kira-kira 55 jemaah umrah warga Malaysia terkandas di Jeddah selepas penerbangan pulang mereka yang dijadualkan pada awal pagi Sabtu dibatalkan susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat.
Seorang jemaah, Mohd Nasarudin Kassim, 57, berkata kumpulan berkenaan sepatutnya berlepas pulang ke tanah air pada jam 1 pagi waktu tempatan, namun dimaklumkan mengenai pembatalan penerbangan itu oleh syarikat penerbangan kira-kira jam 8 malam sebelumnya.
Menurut beliau, kesemua jemaah kini ditempatkan sementara di sebuah hotel di Jeddah yang disediakan oleh pihak syarikat penerbangan sementara menunggu jadual penerbangan gantian.
“Situasi di sini buat masa ini tenang dan terkawal. Pihak agensi dan syarikat penerbangan ada menyediakan penginapan hotel untuk kami sementara menunggu Isnin nanti,” katanya ketika dihubungi.
Beliau turut memaklumkan selain kumpulan kendalian agensi berkenaan, beberapa kumpulan jemaah daripada agensi lain juga terkesan dan ditempatkan di hotel yang sama.
Berdasarkan maklumat terkini, mereka dijadualkan berlepas pulang melalui penerbangan Malaysia Airlines MH159 pada 2 Mac, jam 9.30 malam. Bagaimanapun, lokasi pelepasan telah diubah daripada Jeddah ke Madinah.
Terdahulu, Malaysia Airlines membatalkan beberapa penerbangan antara Kuala Lumpur dan Doha, Jeddah serta Madinah bagi tempoh 28 Feb hingga 1 Mac 2026 sebagai langkah berjaga-jaga susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Timur Tengah.
Sementara itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dalam kenyataan di Facebook malam ini memaklumkan pihaknya sentiasa memantau perkembangan dan keadaan semasa di rantau berkenaan.
Menurut kenyataan itu, situasi di seluruh Arab Saudi ketika ini adalah selamat dan terkawal, namun rakyat Malaysia di negara tersebut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan kekal tenang.
“Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa mengenai situasi semasa dan sebarang perkembangan penting yang memerlukan tindakan lanjut akan dimaklumkan dengan kadar segera,” menurut kenyataan itu.

