Site icon TUHAU BAMBANGAN

Banjir Sabah: Jumlah mangsa terus meningkat, Tenom catat penduduk terjejas paling ramai

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat apabila seramai 6,791 penduduk daripada 2,304 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan terjejas setakat jam 4.00 pagi hari ini, dengan Tenom mencatat jumlah penduduk terjejas paling ramai.

Berdasarkan laporan Perkembangan Harian Bencana Negeri Sabah oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, peningkatan ketara direkodkan di Tenom susulan pertambahan satu lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang diaktifkan.

Menurut JPBN, daripada keseluruhan 6,791 mangsa, Tenom merekodkan 4,500 penduduk terjejas melibatkan 1,507 KIR, menjadikannya daerah paling teruk terjejas setakat ini.

“Jumlah mangsa di Tenom meningkat dengan pertambahan satu PPS diaktifkan,” menurut kenyataan rasmi JPBN Sabah.

Selain Tenom, Beaufort merekodkan 1,462 mangsa (467 KIR), diikuti Membakut 441 mangsa (173 KIR) dan Sipitang 329 mangsa (146 KIR).

Sementara itu, insiden kebakaran di Semporna turut mencatatkan 59 mangsa melibatkan 11 KIR.

Secara keseluruhan, sebanyak 33 PPS dibuka melibatkan lima daerah terjejas, manakala tiada kematian dilaporkan setakat ini.

JPBN memaklumkan situasi di beberapa daerah lain adalah kekal dan berada dalam pemantauan rapi, dengan semua agensi berkaitan terus mempergiat usaha penyelarasan bantuan serta memastikan kebajikan mangsa di PPS sentiasa terpelihara.

Exit mobile version