Site icon TUHAU BAMBANGAN

Wanita pengsan dalam kebakaran 9 rumah di Semporna

SEMPORNA: Seorang wanita pengsan dalam satu kejadian kebakaran sembilan rumah di Jalan Pinggir Bakau, Semporna kira-kira tengah hari Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, PPgB Rastam Keladi dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.51 petang.

Susulan itu, seramai 15 anggota bomba dari BBP Semporna dan enam anggota dari BBP Air Semporna telah dikejarkan ke lokasi sejauh 1 kilometer dan tiba pada jam 1.53 petang.

“Kebakaran melibatkan sembilan buah rumah kediaman, sebuah Stor FMK Smart Hardware, dan sebuah kedai runcit jenis tidak kekal anggaran keluasan keseluruhan 390’X180′ kaki persegi telah terbakar 100%.

“Pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan 2 aliran 500′ kaki 2 pancutan dan sumber air didapati daripada Pili Bomba berdekatan.

“Terdapat seorang mangsa, Imang Aspal, 53 tahun, pengsan dilokasi telah diberi rawatan oleh Pasukan EMRS Bomba dan dihantar ke Hospital menggunakan Jentera EMRS Bomba bagi mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.

Kebakaran padam sepenuhnya dan operasi ditamatkan pada jam 5.30 petang.

Exit mobile version