KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang melibatkan Pembantu-Pembantu Menteri dan Setiausaha-Setiausaha Politik Negeri Sabah di Bilik Mesyuarat Utama, Menara Kinabalu, di sini, semalam.
Majlis berkenaan dimulakan dengan lafaz Ikrar Bebas Rasuah oleh semua yang terlibat sebagai tanda komitmen memperkukuh integriti serta memastikan tadbir urus yang beramanah dalam pentadbiran negeri.
Sejurus selesai melafazkan ikrar, kesemua Pembantu Menteri dan Setiausaha Politik menandatangani dokumen IBR sebagai simbol komitmen rasmi terhadap prinsip ketelusan dan akauntabiliti.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim masing-masing mewakili kumpulan mereka menyerahkan dokumen IBR kepada Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah.
Mohd Fuad yang turut menyaksikan majlis itu kemudiannya menyampaikan taklimat khas dengan memberi penekanan kepada usaha pencegahan rasuah serta pemantapan budaya integriti dalam kalangan penjawat awam dan pentadbiran negeri.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Kabinet dan Dasar Jabatan Ketua Menteri, Puan Dayang Noorashikhin Zulkefli serta Penasihat Integriti kepada Ketua Menteri, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (KPKPj) SPRM, Awang Samsul Baharam Bungso.
Majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh budaya integriti dan menolak sebarang bentuk salah guna kuasa demi kepentingan rakyat serta pembangunan Sabah yang mampan.

