Site icon TUHAU BAMBANGAN

Ketua Menteri ketuai Majlis Ikrar Bebas Rasuah Ahli Jemaah Menteri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengetuai Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) melibatkan Ahli Jemaah Menteri Negeri yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Menara Kinabalu, di sini, pada Rabu.

Sejurus selesai melafazkan ikrar, Hajiji bersama barisan Ahli Jemaah Menteri menandatangani dokumen IBR yang disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah.

Mohd Fuad berkata, pelaksanaan program IBR bersama Kabinet Negeri Sabah itu merupakan satu komitmen amat positif daripada kerajaan negeri dalam usaha memperkukuh integriti serta tadbir urus yang baik.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan akan terus diperluaskan ke kementerian dan agensi di bawah kerajaan negeri bagi memastikan usaha pencegahan rasuah dilaksanakan secara menyeluruh.

“Pelaksanaan program ini sekali gus memperlihatkan keberkesanan serta kesungguhan inisiatif yang dirancang supaya amalan rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan dapat dicegah secara lebih berkesan,” katanya.

Beliau turut berharap lebih banyak kementerian, jabatan dan agensi kerajaan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pihak swasta tampil menyertai program IBR sebagai tanda komitmen bersama dalam memerangi rasuah.

Exit mobile version