Site icon TUHAU BAMBANGAN

DBKK teroka penubuhan galeri warisan sejarah Kota Kinabalu (Jesselton)

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meneroka perancangan awal penubuhan sebuah Galeri Warisan Sejarah Kota Kinabalu bagi mendokumentasikan serta mengetengahkan sejarah penubuhan dan perkembangan bandar raya ini yang dahulunya dikenali sebagai Jesselton.

Usaha tersebut dizahirkan menerusi satu kunjungan bersejarah pada 16 Februari lalu yang menyaksikan kehadiran Sir George Jessel, tokoh yang mempunyai hubungan langsung dengan legasi sejarah awal bandar raya ini sebagai wakil dan waris kepada keluarga Jessel.

Nama Jesselton diabadikan bersempena dengan Sir Charles James Jessel, bekas Naib Pengerusi British North Borneo Company (BNBC) yang memainkan peranan penting dalam merangka dasar pentadbiran dan hala tuju pembangunan pusat pentadbiran baharu di pantai barat Borneo Utara pada akhir abad ke-19. Perkembangan tersebut menjadi asas kepada pembentukan Jesselton sebelum ia berkembang sebagai Kota Kinabalu hari ini.

Kehadiran Sir George Jessel dilihat sebagai simbolik kepada kesinambungan sejarah yang merentasi generasi serta memberi nilai akademik yang signifikan kepada usaha DBKK dalam merungkai dan mempersembahkan sejarah bandar raya secara berfakta, seimbang dan berwibawa.

Turut hadir dalam sesi perbincangan itu ialah Datuk Joniston Bangkuai selaku Menteri yang bertanggungjawab kepada DBKK, Dato’ Sri Dr. Haji Sabin bin Samitah, JP selaku Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, barisan pengurusan tertinggi DBKK serta pegawai kanan.

Perbincangan memberi tumpuan kepada potensi penubuhan Galeri Warisan sebagai pusat rujukan sejarah yang komprehensif, meliputi pengumpulan artifak, dokumen arkib, bahan visual serta penceritaan sejarah berasaskan kajian dan pendekatan interpretatif moden.

Galeri tersebut dihasratkan bukan sahaja sebagai ruang pameran, malah sebagai platform pendidikan, penyelidikan dan kesedaran awam yang menghubungkan sejarah silam dengan konteks pembangunan semasa dan masa hadapan bandar raya.

DBKK berpandangan bahawa pemeliharaan serta pendokumentasian sejarah bandar merupakan elemen asas dalam pembentukan jati diri, kefahaman kolektif dan kelestarian pembangunan. Inisiatif ini selari dengan aspirasi memperkasa pelancongan berteraskan warisan, memperkayakan wacana sejarah tempatan serta memastikan legasi Kota Kinabalu terus dipelihara sebagai khazanah bernilai untuk generasi kini dan akan datang.

Exit mobile version