KOTA KINABALU: Sebanyak 1,126 projek kecil berimpak tinggi yang dilaksanakan di seluruh Sabah menjadi bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan dilaksanakan secara seimbang dan inklusif merentas wilayah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, projek-projek berorientasikan rakyat itu dilaksanakan dalam tempoh 2020 hingga 2025 melibatkan tiga wilayah pembangunan utama iaitu Wilayah Barat, Wilayah Tengah dan Wilayah Timur Sabah, merangkumi keseluruhan 32 daerah dan daerah kecil.
“Secara kumulatif, sebanyak 1,126 projek kecil telah dilaksanakan sebagai intervensi bersasar bagi meningkatkan keterangkuman sosio-ekonomi, memperbaiki akses kepada kemudahan asas serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan komuniti setempat, terutamanya di luar bandar,” katanya pada majlis Sungkai Kurung-Kurung Ketua Menteri bersama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di Menara Kinabalu, hari ini.
Menurut beliau, agenda Koridor Pembangunan Sabah (SDC) di bawah seliaan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) terus menjadi pelengkap strategik kepada pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), selari dengan aspirasi pembangunan negara di bawah kerangka Malaysia Madani.
Hajiji berkata dalam landskap pembangunan negeri yang semakin kompetitif, pelaburan strategik kekal sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi Sabah.
“Keutamaan kita adalah kepada pelaburan berkualiti tinggi yang mampu menjana peluang pekerjaan bernilai tambah, memperkukuh rantaian bekalan tempatan serta memberi limpahan manfaat yang jelas kepada komuniti setempat.
“SEDIA berperanan sebagai pemudah cara strategik dalam penyelarasan perancangan, pemacu promosi pelaburan serta penghubung antara Kerajaan Negeri, agensi Persekutuan dan sektor swasta,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa beberapa kajian strategik di bawah kerangka SDC telah disiapkan bagi menyokong pembangunan wilayah yang lebih bersasar, termasuk kajian berkaitan POIC Sandakan, Zon Ekonomi Bebas dan Hab Logistik di POIC Lahad Datu, pembangunan ekonomi sempadan Sabah serta pelan induk Lembah Makanan di pedalaman negeri.
Katanya, keupayaan SEDIA diperkukuh melalui tadbir urus kewangan yang berintegriti, dibuktikan dengan penganugerahan Sijil Bersih Tanpa Teguran bagi penyata kewangan selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009 hingga 2024.
Dalam pada itu, Hajiji mahu semua ketua jabatan terus memperkukuh budaya prestasi tinggi dalam organisasi masing-masing bagi memastikan agenda Sabah First (Sabah Didahulukan) dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Kejayaan agenda pembangunan Sabah First menuntut komitmen kolektif, kepimpinan yang tegas serta kesediaan untuk melaksanakan perubahan yang diperlukan demi kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan Sumbangan Kasih Ramadan kepada 16 pusat tahfiz dan pengajian Islam yang berdaftar.

