Site icon TUHAU BAMBANGAN

Polis siasat isu resort sedia tenggiling sebagai hidangan di Semporna

SEMPORNA: Polis memandang serius isu penyediaan dan penjualan makanan eksotik di sebuah resort di daerah ini yang dipercayai melibatkan hidupan liar dilindungi, termasuk spesies tenggiling.

Ketua Polis Daerah Semporna, Tan Hiap Wah berkata, sebarang aktiviti pemburuan, pemilikan, penjualan atau penyediaan hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa.

“Sebarang aktiviti pemburuan, pemilikan, penjualan atau penyediaan hidupan liar yang dilindungi tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes berkenaan boleh disiasat di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 (Sabah No. 6 Tahun 1997).

Menurutnya, spesies Pangolin atau Tenggiling (Manis javanica) adalah dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual 1 enakmen tersebut dan tiada lesen atau permit dikeluarkan kepada mana-mana individu atau premis termasuk premis pelancongan untuk memiliki, menyimpan, menjual atau menyediakan spesies itu sebagai makanan.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, pelaku boleh didenda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun menurut Seksyen 25(3)(a) enakmen yang sama.

Sehubungan itu, Tan menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang serta menghormati usaha pemuliharaan hidupan liar demi kelestarian alam sekitar dan imej Semporna sebagai destinasi pelancongan terkenal.

“Kerjasama masyarakat amat penting. Sekiranya mempunyai maklumat berhubung aktiviti penjualan atau penyediaan makanan eksotik yang melibatkan spesies dilindungi, sila salurkan maklumat kepada pihak polis atau agensi penguat kuasa berkaitan. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Beliau menegaskan pihak polis akan terus menjalankan pemantauan dan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan undang-undang dipatuhi serta keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Exit mobile version