Site icon TUHAU BAMBANGAN

RM15 juta kos penuhi piawaian ‘Fire Certificate’ Wisma MUIS – Arifin

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM15 juta sepanjang lima tahun lalu bagi memastikan Bangunan Wisma Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) memenuhi piawaian keselamatan kebakaran sehingga berjaya memperoleh Sijil Perakuan Bomba (Fire Certificate), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

Beliau berkata peruntukan itu melibatkan pematuhan tiga komponen utama iaitu sistem peralatan keselamatan, kelengkapan menentang kebakaran serta aspek amalan dan latihan keselamatan dalam kalangan kakitangan.

“Hari ini kita menempah sejarah bagi bangunan ini dan saya ucapkan berbanyak-banyak penghargaan dan terima kasih kepada pihak Bomba yang hadir menyampaikan sijil perakuan yang sangat perlu untuk Majlis Ugama Islam Sabah.

“Kita telah membelanjakan lebih daripada RM15 juta sepanjang lima tahun ini untuk melengkapkan keperluan yang ditetapkan termasuk sistem keselamatan, kelengkapan kebakaran dan latihan kepada staf,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Fire Certificate Bangunan Wisma MUIS, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja naik taraf turut melibatkan penggantian 12 unit lif baharu, pemasangan eskalator baharu, pembaikan bumbung yang mengalami kebocoran serta penambahbaikan kemudahan demi keselesaan pengguna bangunan berusia lebih 40 tahun itu.

Arifin memaklumkan bangunan tersebut pernah menerima sijil perakuan pada tahun 1990, namun pembaharuan memerlukan pematuhan kepada syarat-syarat semasa yang lebih ketat ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata penyerahan Sijil Perakuan Bomba kepada Wisma MUIS merupakan satu pencapaian penting yang mencerminkan komitmen pengurusan dalam memastikan bangunan berkenaan mematuhi piawaian keselamatan kebakaran di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

“Sijil ini bukan sekadar dokumen rasmi, tetapi merupakan jaminan keselamatan kepada semua penghuni dan pengguna bahawa sistem pepasangan keselamatan kebakaran telah diperiksa, disahkan dan berada dalam keadaan baik.

“Ia juga menjadi simbol tanggungjawab bersama dalam melindungi nyawa dan harta benda serta mencerminkan kesungguhan pengurusan bangunan mematuhi keperluan keselamatan kebakaran,” katanya.

Beliau berkata sehingga Disember 2025, JBPM Sabah merekodkan 497 bangunan dikategorikan sebagai Premis Ditetapkan, dengan 401 premis atau 80 peratus daripadanya memiliki Sijil Perakuan Bomba yang berkuat kuasa. Daripada jumlah itu, 47 adalah premis kerajaan termasuk Wisma MUIS.

Menurutnya, pemeriksaan penguatkuasaan akan terus dijalankan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi memastikan sistem keselamatan kebakaran sentiasa berfungsi dengan baik serta tahap amalan keselamatan berada pada tahap memuaskan.

Mohd Pisar berharap pengurusan Wisma MUIS akan terus mengekalkan tahap keselamatan kebakaran bukan sahaja dari aspek teknikal, malah melalui kesedaran, latihan dan budaya pencegahan berterusan.

“Wisma MUIS sebagai salah satu mercu tanda institusi Islam di Sabah boleh menjadi contoh teladan kepada premis-premis lain dalam mematuhi undang-undang dan piawaian keselamatan kebakaran,” katanya.

Exit mobile version