PENAMPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas dadah disyaki jenis syabu seberat 25,744.37 gram bernilai kira-kira RM1.29 juta dalam satu operasi di lobi sebuah kondominium di daerah ini, semalam.
Rampasan yang dianggarkan berjumlah RM1,287,218.50 itu dilakukan pada 23 Februari oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang hasil pemeriksaan terhadap empat kotak mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 24 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur disyaki methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dan menahan individu yang terlibat serta membongkar rangkaian pengedaran dadah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas maklumat yang disalurkan sehingga membawa kepada kejayaan rampasan tersebut.
“Orang ramai digesa terus bekerjasama dengan PDRM dengan menyalurkan maklumat bagi memastikan daerah Penampang kekal selamat dan bebas daripada ancaman dadah,” katanya.

