KOTA KINABALU: Beberapa kawasan di Sabah dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang malam ini susulan amaran cuaca jangka pendek yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).
Menurut MET Malaysia, antara kawasan terlibat di Sabah ialah Pedalaman, Pantai Barat melibatkan Papar, Tawau serta Sandakan meliputi Tongod dan Kinabatangan.
Amaran berkenaan berkuat kuasa sehingga jam 2.00 pagi, Selasa (24 Februari 2026).
“Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” menurut kenyataan MET Malaysia yang dikeluarkan pada jam 10.55 malam tadi.
Selain Sabah, amaran sama turut melibatkan beberapa kawasan di Sarawak iaitu Serian, Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan dan Julau), Kapit (Kapit dan Bukit Mabong), Bintulu, Miri dan Limbang, serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan supaya lebih berwaspada terhadap kemungkinan berlakunya banjir kilat, pokok tumbang dan gangguan bekalan elektrik akibat cuaca buruk yang dijangka berlaku dalam tempoh berkenaan.

