SANDAKAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam selepas disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan dua ahli keluarganya yang tidak layak sebagai penerima Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
SPRM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 9.50 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada tahun 2022 dengan mengesyorkan nama bapa mentua dan adik iparnya sebagai penerima bantuan Rumah Mesra SMJ. Rumah yang dibina atas nama kedua-dua individu tersebut dilaporkan siap pada tahun 2023.
Bagaimanapun, sehingga tahun 2025, rumah berkenaan didapati masih belum didiami, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kelayakan sebenar penerima serta berpotensi menjejaskan objektif program bantuan yang disasarkan kepada golongan benar-benar memerlukan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan, dan suspek dijangka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Sandakan dalam masa terdekat.
SPRM menegaskan komitmennya untuk terus membanteras sebarang bentuk salah guna kuasa serta memastikan setiap program bantuan kerajaan dilaksanakan secara telus dan berintegriti demi kepentingan rakyat.

