Site icon TUHAU BAMBANGAN

90 peratus aset musnah, sesi persekolahan SK Bawang K9 Beluran terjejas

BELURAN: Hampir 90 peratus kemudahan dan peralatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9, Tangkarason Beluran yang terletak dalam kawasan daerah Paitan dilaporkan rosak teruk akibat bencana banjir baru-baru ini, sekali gus menjejaskan kelangsungan sesi persekolahan murid-murid di sekolah berkenaan.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa hasil lawatan dan penilaian awal mendapati hampir keseluruhan aset sekolah mengalami kerosakan serius, termasuk kemudahan pengajaran dan pembelajaran, perabot serta peralatan ICT.

Menurut beliau, sekolah berkenaan memerlukan segera sekurang-kurangnya 200 set meja dan kerusi murid, 30 set meja dan kerusi guru serta lima set meja dan kerusi untuk bahagian pentadbiran. Selain itu, kemudahan bagi sembilan buah kelas turut terjejas dan memerlukan penggantian papan putih (whiteboard) serta Smart TV baharu.

“Keseluruhan buku teks termasuk stor bekalan buku teks telah musnah, manakala 30 unit komputer riba dan lapan set komputer untuk kegunaan pelajar tidak lagi dapat digunakan,” katanya selepas meninjau keadaan sekolah tersebut.

Tambah beliau, kerosakan turut melibatkan bilik pusat sumber, tandas dan bilik mesyuarat sekolah. Lebih membimbangkan, sebanyak 10 tangki simpanan air dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus banjir.

Beliau menegaskan situasi tersebut memerlukan tindakan segera dan penyelarasan pantas bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan akses pendidikan murid-murid.

Sehubungan itu, beliau menyeru Jabatan Pendidikan Negeri Sabah agar menyalurkan bantuan dengan kadar segera bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dan penggantian aset dilaksanakan secepat mungkin.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya memaklumkan segera kepada kementerian sekiranya berlaku kejadian seumpama itu di kawasan masing-masing bagi memastikan tindakan awal dapat diambil tanpa sebarang kelewatan.

“Kelangsungan pendidikan anak-anak Sabah adalah tanggungjawab bersama dan mesti sentiasa menjadi keutamaan,” tegasnya.

Exit mobile version