Site icon TUHAU BAMBANGAN

Proses & jual ketum, dua lelaki tempatan ditahan di Kg Bongkud, Ranau

RANAU: Dua lelaki tempatan ditahan dalam dua operasi berasingan di Kampung Bongkud, di sini, semalam selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum.

Dalam serbuan pertama kira-kira jam 2 petang, seorang suspek berusia 37 tahun ditahan bersama satu karung guni mengandungi daun ketum seberat 1.4 kilogram. Turut dirampas sebuah tong gas dan dapur masak yang dipercayai digunakan untuk memproses bahan berkenaan.

Sejam kemudian, sekitar jam 3 petang, seorang lagi lelaki berusia 49 tahun diberkas bersama 18 botol plastik berkapasiti 1.5 liter berisi cecair disyaki air ketum yang disimpan di dalam peti sejuk. Polis turut merampas sebuah tong gas dan dapur masak dalam operasi tersebut.

Kesemua tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang diketuai oleh Insp. Abdul Fatah bin Qasim.

Ketua Polis Daerah Ranau, Supt. Mursalin bin Mahmud berkata, pengambilan dan pemprosesan cecair ketum merupakan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan pihak polis akan terus mempergiatkan operasi dan pemantauan bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang itu demi memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat di daerah Ranau sentiasa terpelihara.

Exit mobile version